Tuesday, 25 May 2010

terkini-perkembangan-misi-kemanusian


ISTANBUL, 19 Mei 2010 — Alhamdulillah, syukur kerana kami telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kamal Atarturk, Istanbul pada jam 6:08 pagi waktu tempatan, iaitu bersamaan jam 11:08 pagi waktu Kuala Lumpur. Penerbangan terus dari KLIA ke Istanbul ini telah menambil masa selam 10 jam 10 minit. Cuaca di Istanbul agak sejuk, 14 hingga 16 darjah Celcius. Mereka di sini sudah mula memasuki musim panas, jadi waktu siangnya agak panjang di mana waktu masuk solat Maghrib adalah jam 8:30 malam dan waktu masuk solat subuh adalah jam 4:40 pagi.

Setelah tiba, kami terus menyelesaikan urusan penginapan. Banyak hotel-hotel berdekatan dengan pejabat IHH, iaitu penganjur utama konvoi ke Gaza ini, sudah penuh. Alhamdulillah kami mendapat penginapan yang tidak jauh dari situ, dalam jarak kira-kira 1 km dari pejabat IHH. Selesai urusan di tempat penginapan, kami terus ke pejabat IHH untuk melengkapkan urusan pendaftaran bagi menyertai konvoi ini. Alhamdulillah kami disambut oleh Timbalan Presiden IHH, Huseyin Oruc, dan kemudiaanya sempat juga berjumpa dengan Presiden IHH sendiri, Bulent Yildirim. Ternyata mereka begitu sibuk dengan persiapan konvoi ini, lebih-lebih lagi semakin ramai sukarelawan dari negara-negara sudah mula tiba di Istanbul.

Satu berita yang baik dan menggembirakan mengiringi ketibaan kami di pejabat IHH. Pegawai IHH yang telah di tahan oleh Israel di Tebing Barat, Izzet Sahin’e telah dibebaskan. Beliau tiba di Istanbul Isnin lalu, setelah 21 hari berada dalam tahanan Israel. Hari ini adalah hari pertama beliau menyambung kerja di pejabat IHH. Ternyata rejim Zionis Israel tertekan dalam kes penahanan beliau, kerana tidak ada apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh Izzet Sahin’e. Apa yang jelas, Zionis Israel telah merasai bahang konvoi yang akan memasuki Gaza.

Selepas makan tengahari yang ringkas di dewan makan IHH, kami terus ke Pelabuhan Eminonu, Istanbul. Di situlah kapal penumpang utama yang bakal membawa kami ke Gaza, yang diberi nama “Mavi Marmara”, sedang berlabuh. Di dalam kapal tersebut, kapten kapal Mehmet Kara telah memberikan satu taklimat mendalam kepada kami dan juga sukarelawan-sukarelawan lain daripada Turki dan luar negara. Kapal Mavi Marmara boleh menampung seramai 1080 orang penumpang. Tetapi untuk misi ini, mereka akan benarkan tidak lebih 1000 orang untul menaiki kapal ini, termasuk anak-anak kapal.

Banyak perkara strategik yang dibincangkan di dalam taklimat tersebut. Antaranya, tidak ada siapa dibenarkan bertindak mengikut kekuatan diri sendiri, sebaliknya setiap tindakan mestilah mengikut arahan ketua misi. Ini adalah antara perkara yang paling mustahak dalam perjalanan konvoi nanti, kerana kami menjangkakan pihak Zionis akan melakukan pelbagai provokasi untuk menggagalkan usaha ini.

Setakat ini sebanyak 9 buah kapal bersedia untuk berlepas. 3 buah kapal daripada Turki, selebihnya dari negara luar termasuklah Ireland, Sweden, Greek dan England. Kapal-kapal daripada Turki akan bertolak dari Pelabuhan Eminonu ke Pelabuhan Antalya di selatan Turki. InsyaAllah kami dijangka akan sampai di Antalya sebelum jam 9 malam, 24hb Mei. Kami seterusnya dijadualkan bertolak ke Gaza pada jam 5:00 pagi 25hb Mei. Kapal-kapal dari negara lain akan menunggu kami di Cyprus.

Tidak ada perancangan jangkamasa masa yang spesifik untuk menjayakan konvoi ini, tetapi kami dijangkakan mengambil masa selama sekurang-kurangnya 15 hari untuk peri ke Gaza dan kembali ke Istanbul. Kapal Mavi Marmara membawa bekalan makanan dan minuman yang cukup untuk tempoh sehingga satu setengah bulan. 70 tan air minuman akan dibawa, di mana hanya 2.5 liter akan akan diberi kepada setiap penumpang untuk setiap hari. Sekiranya kami ditakdirkan berada di lautan lebih daripada satu setengah bulan, bekalan tambahan untuk kami akan dibawa menggunakan kapal-kapal lain yang akan sampai daripada Istanbul atau pelabuhan-pelabuhan lain yang lebih dekat.

Sebenarnya banyak perkara diperkatakan tentang cabaran dan halangan yang bakal kami hadapi. Pelbagai teknik dan taktik Zionis Israel digambarkan oleh media dan masyarakat. Namun setakat ini tidak ada langsung kenyataan rasmi Zionis Israel yang menyatakan mereka akan bertindak menyerang konvoi ini. Yang ada cumalah kenyataan-kenyataan media Israel yang cuba menakutkan perancangan konvoi dan peserta-pesertanya. Apa yang jelas, kami tetap dengan misi kami untuk menyampaikan setiap barangan bantuan kemanusiaan ini kepada mangsa-mangsa keganasan Israel yang sedang menderita di Gaza. Ketika ditanya apakah ada perancangan-perancangan lain sekiranya konvoi ini tidak berjaya memasuki Gaza, Presiden IHH Bulent Yildirim menjawab, “Plan A kita adalah kita akan memasuki Gaza. Plan B kita adalah kita akan memasuki Gaza. Dan Plan C kita adalah kita akan memasuki Gaza”.

Ingin kami memngambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang begitu prihatin terhadap permasalahan kemanusiaan di Gaza, yang telah sudi menghulurkan bantuan menjayakan misi ini. InsyaAllah, kami berjanji bahawa kami akan menjalankan amanah yang kami pikul dengan penuh ikhlas dan kesungguhan. Semua kami di sini begitu bersemangat tinggi, terutama sekali apabila sudah merasai suasana kehangatan konvoi dalam masyarakat kotaraya Istanbul.

Alhamdulillah, kami tidak lupa hakikat kekuatan Allah Yang Maha Esa. Kepada Allahlah kami bergantung, kepadaNya jua kami berharap. Semoga anda di tanahair dapat terus bermunajat kepada Allah agar kami diberi kekuatan roh dan fizikal, dicekalkan hati kami untuk tetap ikhlas dalam perjuangan ini dan dipermudahkan urusan kami di sini dan juga urusan keluarga kami yang ditinggalkan di tanahair.

Teruskanlah usaha memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan misi ini. Teruskanlah menghulurkan derma, kerana terlalu banyak dana yang diperlukan untuk meneruskan kejayaan misi ini. Kami tidak pasti berapa lama masa yang diperlukan untuk sampai ke Gaza. Semuanya memerlukan kepada dana yang cukup untuk, terutama sekali untuk menyelenggara kapal dan kemudahan-kemudahan lain.

Kami, termasuklah Hj Jamuliddin Elias daripada Yayasan Amal, Dr Selamat Aliman daripada Jamaah Islah Malaysia (JIM), Halim Mohamed Redzuan daripada Muslim Care, Hj Noorazman Mohd Samsuddin dan sukarelawan-sukarelawan lain daripada HALUAN, amat mengharapkan kepada doa anda semua dan juga usaha berterusan untuk mengumpul dana bagi menjayakan misi ini. Bantuan boleh disalurkan terus ke akaun khusus misi ini, iaitu Tabung Palestin HALUAN, di Maybank Berhad nombor akaun 5644-902-085-28.

Wednesday, 19 May 2010

Pengerusi Menyampaikan Sumbangan Anak Yatim Palestin oleh Rakyat Malaysia


Kezaliman Yahudi masih berterusan. Mereka melepaskan gas beracun ke terowong-terowong penyelamat, satu tindakan yang langsung tidak boleh diterima akal yang waras. Apakah mereka menganggap saudara-saudara kita bagaikan tikus atau lipas yang layak untuk diperlakukan dengan sebegitu hina?

Namun bila merenung ayat Qur'an berikut, kita menerima hakikat satu fahaman Yahudi yang zalim. Allah telah menghukum mereka sedemikian rupa.

“Dan Kami menyatakan kepada Bani Israel dalam Kitan itu: “Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan Sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh Dengan melampau” ( ayat 4 surah al-Isra’)

Percayalah kezaliman yang mereka lakukan tidak berhenti setakat itu sahaja. Mereka akan bertindak lebih biadap apabila mereka semakin terdesak. Allah telah mengatur percaturan hidup dengan penuh hikmah dan sebegitu seni. Surah al-Mulk yang menjadi wirid kita setiap malam, mengingatkan kehidupan ini bagaikan pentas ujian, siapakah yang paling elok amalannya di dunia ini.

“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu. Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang Yang bertaubat)” (ayat 2 surah al-Mulk)

Rupa-rupanya kita dan saudara kita masyarakat Palestin sama-sama sedang diuji. Mereka diuji dengan kepayahan berhadapan dengan Yahudi. Kita pula diuji, sama ada untuk membantu atau memerhatikan sahaja, Atau lebih buruk untuk tidak mengambil tahu atau mengambi peduli.

Bayangkan suasana di Gaza yang sedang terkepung itu. Pada bila-bila masa boleh berlaku serangan dan letupan bom atau peluru berpandu. Di samping itu mereka juga terdedah kepada senjata pemusnah besar-besaran dan senjata yang diharamkan termasuk fosforus putih yang amat mengazabkan bagi mangsa-mangsanya.

Bayangkan apa yang tergambar dalam fikiran seorang kanak-kanak Palestin tentang masa depan mereka. Bandingkan pula dengan seorang kanak-kanak Malaysia yang gagal atau kecundang bukan kerana kepayahan hidup, tetapi kerana letih akibat kekenyangan.

Kedua-duanya masyarakat Malaysia mahupun masyarakat Palestin sedang diuji. Ketika saya ke perkhemahan Palestin samada di Jordan atau di Lubnan, saya melihat bangunan yang sempit dan berselirat dengan saluran air dan eletrik yang amat membahayakan keselamatan penghuni-penghuninya.

Saya, isteri dan sahabat-sahabat dari Yaman yang berada di sana sesak nafas kerana kekurangan oksigen. Bayangkan hampir 60 tahun mereka hidup dan anak-anak mereka dibesarkan dalam suasana begitu.

Di perkhemahan Palestin, selepasa mereka hidup penuh sengsara semata-mata untuk ‘survive’ dan membesarkan anak-anak sehingga tamat pengajian di mana-mana university di dalam atau di luar Lubnan, ketahuilah mereka kemudiannya menghadapi pula larangan untuk menjawat 70 jenis pekerjaan di Lubnan.


Atas alasan kepentingan rakyat Lubnan, kerajaan Lubnan melarang warga Palestin untuk bekerja sebagai, doktor, jurutera, peguam dan 63 pekerjaan lainnya. Mereka tidak boleh memiliki tanah dan bangunan, tidak boleh memiliki syarikat perniagaan. Mereka tidak dibenarkan berkahwin dengan penduduk setempat. Kalau curi-curi berkahwin juga, anak-anak mereka tidak berhak untuk mewarisi harta peninggalan.

Namun bangsa yang diuji Allah ini tahan lasak. Bila bertemu dan ditanyakan mereka dari mana? Mereka dengan penuh rasa kemuliaan mengatakan “saya warga paletin” yang tinggal samada di Lubnan atau Jordan atau Syria.

Saya tidak berhasrat untuk mengulas kejahatan Yahudi, kerana itulah sifat dan perangai semulajadi mereka seperti yang ditegaskan oleh al-Quran. AQSA SYARIF lebih berminat untuk membentang agenda amal kepada warga Malaysia supaya mereka melepasi ujian membantu saudara mereka dari warga Palestin.

Harta dan rezeki atau gaji yang Allah berikan setiap bulan kepada kita, sebenarnya ada hak mereka didalamnya. AQSA SYARIF membuka peluang untuk membantu anak-anak yatim dan keluarga miskin dari kalangan warga Palestin. Hari ini AQSA SYARIF mencapai sasaran 100 penajaan anak-anak yatim dari Palestin. Tahniah kepada warga Malaysia yang pemurah. Ini memberikan dorongan kepada AQSA SYARIF untuk terus membuka ruang amal bagi menetapkan sasaran berikutnya iaitu 200 anak yatim lagi.

Teruskan kempen kepada sesiapa sahaja yang anda temui untuk membantu anak-anak yatim yang merupakan masa depan bumi Palestin, Mereka hilang tempat pergantungan , hilang ayah untuk menjalani kehidupan penuh pancaroba di bawah penindasan dan kezaliman Yahudi Zionis..

Perancangan seterusnya ialah AQSA SYARIF sedang membuka projek menampung keluarga miskin di Palestin. Keluarga miskin ini ditinggalkan oleh suami atau ayah yang direnggut dari keluarga mereka oleh regim Zionis Israel dan dipenjarakan sehingga bertahun-tahun lamanya. Bahkan ada yang dijatuhkan hukuman penjara sehingga ratusan tahun.

Akibatnya keluarga mereka terbiar tanpa pembelaan. Tanpa bantuan dan sokongan rakyat Malaysia, perjuangan mempertahankan Masjidil Aqsa dan bumi Palestin yang diterajui oleh rakyat Palestin yang kini menderita akan terjejas. Oleh kerana itu seruan untuk membantu anak yatim dan keluarga miskin ini adalah seruan jihad yang tidak boleh diabaikan oleh umat Islam yang sedar tanggungjawab mereka untuk membela Masjid al-Aqsa dan membebaskan bumi suci Baitul Maqdis.

Aqsa Syarif membuka peluang ini kepada semua dengan sumbangan serendah USD10 untuk sekurang-kurangnya sebulan, untuk satu unit sesaham sumbangan bagi memenuhi satu lot sumbangan buat keluarga miskin yang memerlukan dari USD500 sehingga USD800 bagi menjalani kehidupan yang serba sederhana. Jumlah sebanyak hanya USD10 sebulan adalah amat rendah. Dengan cara berpakat dan berkongsi menaja sebuah keluarga miskin kita boleh menebus ketidakhdiran kita di sana untuk membantu mereka.

AQSA SYARIF membuka peluang ini kepada anda. Hebahkanlah kepada semua demi Masjidil Aqsa dan demi saudara kita di Palestin. AQSA SYARIF berpegang teguh dengan prinsipnya “satu ringgit yang disumbangkankan satu ringgit akan sampai ke Palestin”

Enam Kemungkinan bagi Konvoi ke Gaza


KUALA LUMPUR, 15 Mei – Ketua misi konvoi Malaysia yang akan menyertai konvoi kapal ke Gaza, Sdr Noorazman Mohd Samsuddin, menyenaraikan enam kemungkinan yang bakal dihadapi oleh konvoi apabila berdepan dengan kapal perang Israel.

Kemungkinan pertama ialah semua kapal dan anggota konvoi dibenarkan berlabuh di Gaza tanpa apa-apa halangan. Kebarangkalian untuk senario ini berlaku adalah sangat tipis.

Kemungkinan kedua, konvoi akan disekat dan ditahan di tengah-tengah Laut Mediterranean untuk satu jangkamasa yang panjang. Israel juga mungkin akan menyerang pelabuhan Gaza untuk menghalang kapal-kapal daripada berlabuh.

Kemungkinanan ketiga, kapal-kapal konvoi akan dirampas dan peserta-peserta ditangkap oleh pihak berkuasa Israel. Tindakan ini akan menyerlahkan lagi kekejaman rejim Israel dan akan mengundang lebih banyak simpati daripada warga dunia kepada perjuangan membebaskan Gaza dan Palestin.

Kemungkinan keempat, kapal perang Israel akan menembak dan melanggar kapal-kapal konvoi. Kebarangkalian untuk senario ini berlaku adalah rendah walaupun bukan mustahil. Ini kerana tindakan menembak dan melanggar kapal-kapal konvoi adalah seumpama pengisytiharan perang Israel terhadap seluruh dunia.

Empat senario di atas adalah adalah senario yang disenaraikan oleh penganjur utama konvoi iaitu Pertubuhan Hak Asasi dan Bantuan Kemanusiaan (IHH) yang berpengkalan di Turki.

Selain daripada empat senario di atas, Noorazman menyatakan terdapat dua lagi kemungkinan yang boleh berlaku, iaitu kemungkinan wujud unsur ‘duri dalam daging’ atau sabotaj dari dalam. Ini adalah ujian yang paling getir untuk konvoi. Oleh sebab itu para peserta konvoi disaring dan dipilih dengan teliti oleh IHH.

Senario terakhir, kelima yang mungkin berlaku ialah konvoi akan dipaksa untuk berlabuh di Ashdod, sebuah pelabuhan Israel. Barang-barang muatan akan diturunkan untuk diperiksa dan sekiranya pihak berkuasa Israel berpuas hati, mereka mungkin akan membenarkan kemasukan barang-barang ke Gaza melalui jalan darat. Perkara ini dilaporkan oleh Jurusalem Post yang memetik kenyataan seorang pegawai daripada Kementerian Pertahanan Israel awal bulan April yang lalu.

Sdr Noorazman menyeru seluruh rakyat Malaysia agar memperbanyakkan doa dan munajat. Beliau juga bagi pihak peserta-peserta konvoi dari Malaysia memohon kemaafan atas segala kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan.

“Sekiranya kami tidak pulang ke Malaysia, maafkanlah kesalahan kami, halalkanlah makan minum kami dan bantulah keluarga kami.” -ihhh

Aqsa Syarif bersama Rombongan Kapal LL4-Gaza





Dr Selamat Aliman (Ahli Lembaga Aqsa Syarif) adalah salah seorang yang terpilih di dalam rombongan Kapal Lifeline-4-Gaza dari sejumlah sukarelawan Malaysia dibawah IHH tidak termasuk media seramai 7 orang sahaja setakat ini. Penambahan bilangan mungkin berlaku dan masih di dalam perbincangan. Dua orang lagi di bawah Free Gaza Movement akan turut serta di dalam Kapal.

Sekiranya program berjalan seperti dirancang, sukarelawan yang semuanya berjumlah 600 orang dari 54 negara akan berada di bumi Gaza selama seminggu. Dalam tempoh itu, para sukarelawan akan dibawa melawat dan bertemu dengan pengendali projek-projek yang pernah ditaja/sumbang sebelum ini. JIM pernah menghulurkan sumbangan sebanyak USD50,000 untuk pembinaan semula makmal universiti islam Gaza yang dibom Israel. Sebuah Yayasa dari Malaysia difahamkan akan membawa secara tunai sebanyak RM450,000 sebagai memenuhi komitmen kepada projek mereka yang sedang berjalan.

Satu jawatankuasa sebagai sebahagian daripada sistem sokongan kepada team sukarelawan IHH di Malaysia telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini akan berperanan mengambil langkah-langkah yang perlu sekiranya berlaku sesuatu ke atas team sukarelawan yang menyertai rombongan. Jawatankuasa ini dianggotai oleh semua NGO dan agensi-agensi yang terlibat dalam misi ini. JIM/PACE akan diwakili oleh akh Dr Hafidzi, AQSA SYARIF oleh PM Dr Mohd Zin, dan VPM oleh Pn Noorazian. Penyelaras adalah dari Yayasan Amal manakala SU dari Haluan.

Keberangkatan pada tengah malam Selasa 17hb Mei di KLIA. Rancangan yang dipersetujui ialah untuk singgah di Damsyik dan kemudian bertolak mengikut jalam darat ke Antalia, Port City di mana berkumpulnya semua kapal-kapal dari Turki sebelum menuju ke Cyprus dan InsyaAllah ke Gaza. Pelayaran ke Gaza insya Allah manggambil masa 15 jam. Tetapi dalam misi ini tidak siapa yang pasti.

Semoga Misi ini berjaya mencapai matlamat. Allahu Akbar.

Kapal Keamanan Pertama Belayar ke Gaza


Kapal pertama dalam armada antarabangsa untuk keamanan Gaza berlepas dari Ireland ke Gaza pada Rabu lepas, 12 Mei 2010, melalui Greece. Pelayaran kapal pertama ini akan diikuti oleh kapal-kapal yang lain yang dijangka belayar serentak pada 22 Mei ini dari pelabuhan-pelabuhan di Turki dan Greece. Kapal-kapal ini akan bertemu di perairan Cyprus sebelum sama-sama berlayar ke perairan Gaza.

Sumber pakatan antarabangsa mengesahkan bahawa motif pelayaran tersebut adalah kesungguhan dan keteguhan dalam menghadapi apa jua halangan serta ketegasan mempertahankan hak mereka untuk memasuki Gaza atas nama keamanan untuk membawa bantuan kemanusiaan. Pakatan antarabangsa tersebut dianggotai oleh Pergerakan Pembebasan Gaza (FGM), Yayasan Bantuan Kemanusiaan Turki IHH serta beberapa organisasi dari Malaysia, Greece, Ireland dan Eropah.

sumber : The Palestine Telegraph

LIFELINE 4 GAZA - 8 MEI DI SHAH ALAM BERJAYA



Dua orang Ahli Lembaga Aqsa Syarif (PM Dr Mohd Zin dan Dr Selamat) dan semua staf Ibu pejabat Aqsa Syarif dapat bersama-sama hadir di majis perhimpunan Lifeline 4-Gaza yang berlangsung di Stadium melawati Shah Alam. Perhimpunan dihadiri dengan semua pertubuhan NGO dan berkaitan Palestin di bawah penyelarasan haluan Palestin. Sebanyak RM1.1 juta sumbangan rakyat Malaysia kepada warga Palestin berjaya dikumpul oleh Konvoi Lifeline4Gaza (LL4G) yang bakal diserahkan kepada mangsa kekejaman Zionis Antarabangsa itu pertengahan Mei ini.

Jumlah tersebut diumumkan di dalam Perhimpunan Perdana Palestin yang diadakan Stadium Malawati, dekat sini malam tadi dengan kehadiran luar biasa memenuhi ruang dewan dengan acara memberangsangkan.

Majlis malam tadi bermula dengan solat hajat, ucapan-ucapan dari wakil-wakil NGO termasuk Setiausa Agung JIM, Nahar Mohd Nor, Timbalan Presiden Muslim Care, Zulkifli Mohd Nani dan selingan nasyid persembahan dari Muadz, Raihan dan Shoutul Harokah dari Indonesia.

Turut berucap adalah Wakil Pimpinan Palestin di Gaza, Syeikh Ziyad Al-Qishawi yang juga Koordinator Bantuan Antarabangsa Ikatan Ulama Palestin dan Naib Presiden Foundation For Human Right & Freedom Relief (IHH) dari Turki, Mr Hussain Oruc.

Mereka berdua menyampaikan salam perjuangan dan terima kasih tidak terhingga dari rakyat Palestin kerana sanggup memberikan sumbangan dan doa di atas mala petaka yang dikenakan ke atas mereka selama ini.

Untuk rekod, krisis kemanusiaan selama ini di Palestin membangkit rasa kebersamaan kepada rakyat dan NGO prihatin negara ini yang menggerakkan konvoi Lifeline4Gaza – Break The Siege ataupun Talian Hayat Untuk Gaza – Menerobos Tembok Kematian.

Mereka disertai oleh Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Yayasan Amal, Palestinian Center of Excellence (PACE), Aqsa Syarif, Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Dewan Pemuda), Pertubuhan Mawaddah Malaysia dan Viva Palestina Malaysia (VPM).

Bagi menjayakan misi menghantar bantuan ke Gaza ini, mereka akan menyertai usaha konvoi antarabangsa yang diketuai oleh sebuah NGO dari Negara Turki iaitu Foundation for Human Rights & Freedoms & Humanitarian Relief (Insan Hak ve Hurriyetleri – atau lebih dikenali sebagai I.H.H.) bersama-sama NGO-NGO antarabangsa yang lain seperti Free Gaza Movement dan European Campaign to End the Siege on Gaza (ECESG).

Kini, IHH dengan sokongan penuh kerajaan Turki dan NGO-NGO antarabangsa dari lebih 17 buah negara lain telah memulakan usaha untuk melaksanakan konvoi talian hayat Gaza yang ke-empat iaitu Lifeline4Gaza. Satu usaha besar-besaran iaitu satu konvoi yang akan merentasi Laut Mediterranean bermula dari Istanbul, Cyprus dan akhirnya terus ke Gaza mengikut jalan laut. Konvoi ini akan membawa lebih daripada 20 buah kapal dan bot.

Kempen ini diketuai oleh Perdana Menteri Turki sendiri, Recep Tayyip Erdogan. Konvoi kemanusiaan terbesar di dunia ini akan membawa bantuan asas keperluan seperti bahan pembinaan hospital, bahan perubatan, peralatan sekolah dan bahan-bahan makanan. Mereka juga akan diiringi oleh tokoh-tokoh politik dan kemanusiaan sedunia yang prihatin terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.

Bantuan tersebut akan dibawa terus ke Gaza dengan menggunakan hubungan diplomatik kerajaan Turki yang memang mempunyai Perjanjian Keselamatan dengan rejim Israel semenjak peperangan dunia yang ke-dua lagi. Mengikut butiran perjanjian tersebut, Israel tidak boleh mengganggu kapal-kapal daripada Turki.

Sumbangan derma bagi menjayakan bantuan ini boleh disalurkan terus melalui akaun khusus untuk projek Lifeline4Gaza seperti berikut:

Nama akaun : “TABUNG PALESTIN HALUAN” Nombor akaun: 5644 9020 8528, Bank : Maybank Berhad

Tuesday, 4 May 2010

LIFELINE 4 GAZA - 8 MEI DI SHAH ALAM



AQSA SYARIF terlibat bersama gabungan NGO yang diterajui oleh HALUAN menjayakan Perhimpunan Perdana Palestin sempena pelancaran Lifeline 4 Gaza seperti berikut.

Ayuh! Sambutlah Seruan, Menerobos Tembok Kematian

Perhimpunan Perdana PALESTIN
Tarikh; 8 Mei 2010
Lokasi: Stadium Melawati, Shah Alam
Masa: 7.00mlm hingga 11.30mlm

Aktiviti Menarik
- Persembahan Nasyid, Parkour & Sketsa
- Tayangan Video Air Mata Palestin
- Ucapan Wakil-wakil NGO
- Ucapan Wakil dari Palestin
- Penyampaian Sumbangan

Tetamu Jemputan
- Kumpulan Nasyid & Artis-artis Tanah Air
- Kumpulan Nasyid Shoutul Harokah

*Bawa bersama sepanduk & banner sebagai tanda sokongan anda
*Kutipan dana akan turut diadakan & sumbangan akan disalurkan ke Gaza secara langsung.
*Bawa sejadah untuk solat Maghrib berjemaah di Stadium.


Anjuran

* Coalition of Graduates of Higher Institutions of Malaysia (HALUAN)
* Malaysian Muslim Youth Movement (ABIM)
* Jemaah Islah Malaysia (JIM)
* Palestinian Center of Excellence (PACE)
* Aqsa Syarif
* Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Dewan Pemuda)
* Pertubuhan Mawaddah Malaysia
* Viva Palestina Malaysia (VPM)
* Global Peace Mission
* Muslim Care
* Yayasan Amal Malaysia

Dengan Kerjasama
* Majlis Bandaraya Shah Alam
* Nasyeed.com
* Muadz4peace. com
* ShouHAR Management (Malaysia)

Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi kami

Office & Correspondence Address:
Lifeline 4 Gaza
c/o Biro HALUAN Palestin
16-1 Jalan Dinar A U3/A, Seksyen U3, Taman Subang Perdana
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

http://www.lifeline 4gaza.org