Monday, 7 June 2010

12 aktivis ke Gaza wira negara: Najib






Oleh Norfatimah Ahmad, Johari Ibrahim, Magendran Rajagopal, S Anand Kumar, Haspaizi Mohd Zain dan Mohd Iskandar Ibrahim 

2010/06/07; Berita Harian Online. Gambar: Zulfadhli&Zin

PM bersyukur sukarelawan selamat pulang, negara tetap hantar bantuan ke Palestin

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan 12 sukarelawan negara yang melalui pengalaman ngeri diserang dan ditahan tentera Israel ketika menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai wira negara.

Perdana Menteri yang bersyukur semua mereka selamat pulang, berkata kejadian itu akan termaktub dalam sejarah negara kerana menandakan pembabitan Malaysia dan rakyatnya secara sukarela untuk membantu rakyat Palestin.

“Nanti akan tertulis bahawa kumpulan 12 orang ini, sebagai orang biasa yang bersatu dalam satu kumpulan yang memiliki kesedaran dan keinsafan serta sanggup bersabung nyawa untuk rakyat Palestin.

“Mereka ini boleh dikatakan sebagai sebahagian daripada pihak yang menggerakkan kesedaran dunia untuk mengutuk kezaliman Israel,” katanya berucap pada majlis meraikan kepulangan 12 sukarelawan itu di kediamannya di Langgak Duta di sini, pagi semalam.

Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut bersarapan pagi bersama sukarelawan itu dan ahli keluarga mereka.

Perdana Menteri menganggap kejadian menimpa 12 rakyat Malaysia itu bukan saja menyayat hati, malah membuka mata rakyat dan dunia terhadap kekejaman Zionis ke atas rakyat Palestin yang sebelum ini hanya diketahui menerusi media.

“Pembunuhan sembilan rakyat Turki dari jarak dekat adalah bukti kezaliman Israel,” katanya.
Najib mengakui beliau boleh membayangkan tekanan perasaan dialami 12 sukarelawan negara kerana tidak tahu apakah nasib mereka selepas diserang dan ditahan di Penjara Be’er Sheva, selain perasaan isteri, anak dan ahli keluarga mereka.

“Yang pasti, Malaysia tidak akan lari daripada tanggungjawab untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan mempertahankan hak asasi kemanusiaan dengan mencetuskan kesedaran dunia untuk terus mengutuk Israel.

“Malaysia akan tetap menghantar misi bantuan kemanusiaan ke Palestin,” katanya ketika ditemu bual TV3 pada majlis sama.

Sementara itu, Rosmah mengambil inisiatif mengumpul dana sebanyak RM16,250 (US$5,000) seorang untuk disumbangkan kepada keluarga sembilan sukarelawan Turki terbabit.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan ketika mengumumkan usaha diterajui Rosmah, berkata dana yang dikumpulkan itu akan diserahkan melalui Pertubuhan Himpunan Lepasan Institut Pendidikan Malaysia (Haluan) Palestin dan Wisma Putra untuk disampaikan kepada keluarga terbabit.

12 Sukarelawan Tiba Di Malaysia, Pimpinan BN & PR Sambut

(TV Selangor)

Dua belas sukarelawan Malaysia yang berada dalam kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusian ke Gaza ketika diserang tentera Israel pada Isnin lepas, tiba di tanah air pukul kira-kira 5.40 pagi ini.

Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini disambut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, para pegawai dari Wisma Putra dan anggota keluarga masing-masing.

Mengikut Bernama, kumpulan sukarelawan itu yang turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman serta pegawai kementerian yang lain, tiba dari Istanbul, Turki dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS). Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Jordan pada 11.20 pagi waktu tempatan (4.20 petang waktu Malaysia) pada Jumaat dan melakukan pertukaran penerbangan di Istanbul sebelum berlepas pulang ke tanah air Sabtu petang. Dalam insiden Isnin lepas, kapal milik Turki "Mavi Marmara", yang membawa sukarelawan serta bantuan seperti perubatan, diserang tentera Israel menyebabkan sembilan sukarelawan terbunuh.

Bagaimanapun, kesemua sukarelawan negara di atas kapal tersebut selamat tetapi ditahan tentera Israel sebelum dibebaskan dan dibawa ke Amman, Jordan. Sehubungan itu, Anifah dan beberapa pegawainya berlepas ke Amman Rabu lepas bagi menguruskan pembebasan 12 rakyat Malaysia tersebut.

Kumpulan sukarelawan itu dijadual bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di kediamannya kira-kira 9 pagi ini. TV Selangor mendapati beberapa pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat, Shamsul Iskandar Mat Akin mengetepi segala perbezaan politik dengan turut menyamput kepulangan mereka.



Kezaliman Rejim Israel Dideahkan Bekas Tahanan




6 Jun 2010 dalam program TV1 - Palestin Kami Bersamamu semua 12 bekas tahanan tentera Israil dari yang merupakan sukarelawan negara di Flotila Kapal bantuan Ke Gaza telah mendedahkan sebahagian lagi kezaliman, keganasan, tidak bertamadun dan buruknya akhlak tentera Israel ketika menyerang, melanun dan menzalimi penumpang Kapal Mavi Marmara yang tidak bersenjata. Dalam wawancara penuh emosi yang dimoderatorkan oleh Syed Munawar turut dihadiri oleh para penyokong NGO Islam dan ahli keluarga mangsa.
Beberapa kesimpulan dari penceritaan 12 bekas tahanan Israel itu ialah:-
1. Tentera Israel sebenarnya penakut dan pengecut... oleh itu mereka menutup mulut, membawa pelbagai senjata dan cabut lari walaupun hanya disembur air dari hos air di kapal yang tidakpun menyembur kuat.
2. Keganasan mereka ialah membawa senjata dan peluru hidup, menembak rambang tanpa mengira siapa di hadapan mereka.
3. Mengikat tangan kebelakangn semua banduan sehingga 15 jam dan tidak membenarkan mereka ke bilik air pun.
4. Memijak, menendang, megherdik dan menengking tahanan tanpa belas kasihan.
5. .... dan pelbagai lagi yang kesimpulannya boleh digelar sebagai Binatang Buas bertopengkan manusia.

Media antarabangsa pro Israel seperti CNN melaporkan sebaliknya dan membohongi dunia tentang apa yang berlaku di kapal Mavi Marmara dalam kejadian awal pagi 31 Mei 2010 itu, dan semua laporan media pro Israel itu adalah suatu KEBOHONGAN yang dirancang bagi mengabui mata dunia. Kini Malaysia melalui 12 wira Malaysia yang balik ke tanah air, membawa berita benar dan "bukan penglipur lara" kata Ust Hasanuddin. "Berita-berita yang kami bawa merupakan berita nya dan perlu direnung dan disebarluaskan kepada rakyat Malaysia agar terus membantu perjuangan Palestin tanpa berbelah bagi". Sokongan kewangan, moral, doa dan malah bantuan kepakaran diperlukan di Palestin.
Mengikut Ust Hasanuddin lagi, semua kesakitan yang dilalui itu semua tidak melemahkan semangatnya untuk terus berjuang membantu penduduk Gaza dan Palestin dan memebbaskan Al-Aqsa. Dr Selamat pula menjawab bahawa... jika minggu hadapan ada misi bantuan ke Gaza, ia tetap akan turut serta.

Sunday, 6 June 2010

Wira Negara Disambut Pemimpin Tertinggi Negara




6 Jun 2010, wira-wira negara seramai 12 orang yang ditawan tentera Yahudi dan dibebaskan kembali ke Malaysia dan disambut dengan penuh gemilang oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Mohyiddin Yasin dan pemimpin tertinggi negara di Kompleks Bungaraya Kuala Lumpur International Airport (KLIA) tepat jam 6.00pagi. Turut hadir ialah YB Datuk Sri Anifah Hj Aman, Menteri Luar Negeri dan beberapa menteri kabinet dan pegawai-pegawau utama negara serta kaum keluarga dan sahabat handai dari kalangan NGO.

Al-Fadil Ustaz Hasanuddin Mohd Yusof (Pengerusi Aqsa Syarif) dan Dr Selamat Aliman (Bendahari Aqsa Syarif) adalah dua anggota misi kemanusia Gaza yang terlibat.

Pada jam 9.00pagi para wira negara diraikan oleh YAB Dato' Sri Najib Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. PM berkesempatan berbual dengan para wirawan dan keluarga yang turut hadir di kediaman Perdana Menteri di Damansara.

Satu perjumpaan khas meraikan kedua-dua pemimpin Aqsa Syarif kemudaian diadakan di dewan Masjid Wilayah Persekutuan dan dihariti oleh para petugas negeri dan daerah Aqsa Syarif.

Sekitar jam 12.30 tengah hari, CMT (Crisis Management Team) LL4G telah di adakan di Shah Alam dengan dihadiri oleh petugas dan penyokong kesemua NGO yang terlibat.

Pengerusi Aqsa Syarif menyampaikan cenderamata kepada TPM sebagai tanda terima kasih pihak Aqsa Syarif dan kesemua Sukarelawan di atas usaha kerajaan menyokong usaha perjuangan palestin. Di dalam gambar kelihatan YB Datuk Seri Anifah Hj Aman (Menteri Luar Negeri) dan Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

[Gambar oleh SinarHarian & Zulfadhli]

Friday, 4 June 2010

DEMO MENENTANG KEGANASAN ISRAEL DI KL BERJALAN LANCAR




4 Jun 2010 selepas solat Jumaat, suatu perhimpunan demonstrasi anjuran Jawatankuas CMT (Crisis Management Team) LL4G yang diketuai oleh HALUAN Palestin telah berlangsung dengan jayanya yang dihadiri lebih kurang 10,000 penunjuk perasaan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk mereka dari luar negara. Perarakan dan sahutan/jeritan takbir, tahmid dan laungan kemarahan terhadap zionis Israel dan Amerika bergema disepanjang jalan dari menara tabung haji ke Kedutaan Amerika.

Setibanya 'pentas bergerak' di hadapan kedutaan Amerika, wakil CMT Sdr Zulkifli Mohd Nani menyerahkan memorandum bantahan kepada pegawai kedutaan Amerika di Malaysia. Di pentas pula wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan memberi ucapan yang berapi-api Di antara mereka ialah wakil HALUAN, AQSA SYARIF, PACE, MAWADDAH, ABIM, Muslim Care, Viva Palestina, Rakan masjid dan lain-lain. Di akhir ucapan dibacakan kandungan memorandum kepada para hadirin oleh wakil CMT dan Sdr Zulkifli dan do'a penutup oleh Ustaz Elias Othman.

Demonstrasi aman yang dianjurkan berjalan lancar dan terkawal. Tiada insiden tidak diingini berlaku dan pihak anggota keselamatan benar-benar profesional di dalam menjalankan tugas mereka. Kawalan pergerakan pimpinan NGOs diuruskan oleh sukarelawan muda dengan begitu profesional dan berjaya. Mereka adalah terdiri dari 100 belia hasil gabungan HALUAN SISWA dan KARISMA.

Demo ini adalah agak unik kerana ia adalah dianjurkan oleh NGO Islam yang keseluruhannya mempunyai sistem pendidikan (tarbiyah) terhadap ahli-ahlinya. Oleh itu dapat diperhatikan disiplin dan akhlak yang baik pada keseluruhan demonstrasi berjalan. Tahniah kepada JK Penganjur, para pemimpin NGO yang terlibat, para petugas dan orang ramai yang begitu berdisiplin dan mempu memberikan impak yang baik di dalam rapat umum yang dijalankan. Tahniah dan Allahu Akbar.

Ucapan Wakil AQSA SYARIF seperti berikut:-

Wednesday, 2 June 2010

PERBUALAN PENGERUSI AQSA SYARIF DI JORDAN DENGAN MHI TV3


MHI TV3 Hari ini berkesempatan berbual melalui telefon dengan Pengerusi Aqsa Syarif iaitu Al-Fadhil Ust. Hasanuddin dan BoD Aqsa Syarif Dr Selamat Alim yang kini berada di Jordan yang baru dibebaskan Zionis Israel setelah lebih 12 Jam di tahan dengan diikat tangan.
Beliau bersama 12 sukaralawan misi kapal bantuan ke Gaza yang telah di tawan tentera zionis Israel di perairan antarabangsa. 19 orang telah terkorban dan lebih 60 cedera di dalam keganasan regim Israel merampas, menyamun dan menawan kapal yang membawa 700 sukarelawan keamanan seluruh dunia di dalam misi bantuan mereka ke Gaza bersama 10 ribu tan barangan keperluan asas penduduk Gaza menggunakan 9 buah kapal.
Kumpulan sukarelawan yang disertai Ust Hasanuddin berlepas dari Pelabuhan Antalya di selatan Ankara Turki pada 25 Mei 2010 disertai oleh sukarelawan, ahli Politik, bekas duta PBB, penerima anugerah nobel-laureate dan orang awam dari sejumlah 42 negara.

Sukarelawan Malaysia yang menaiki kapal penumpang Mavi Marmara terdiri dari 3 orang wakil HALUAN, 1 orang wakil JIM/PACE, 1 orang wakil Aqsa Syarif, 1 orang wakil Yayasan Amal, 1 orang wakil Muslim Care, 2 orang media Haluan, 1 orang media Sinar dan 2 orang Astro Awani.

Pengendali utama misi Flotilla (konvoi) kapal misi bantuan kemanusiaan ini ialah IHH (Insan Hak ve Hurriyetieri Insani Yardim Vakfi (sebuah NGO berpengaruh di Turki) dengan sokongan penuh kerajaan Turki.

Setelah berlayar 6 hari, pada 31 Mei 2010 sebelum subuh (sekitar 7.30 pagi waktu Malaysia), Kapal Mavi Marmara tiba di perairan Laut Tengah (perairan antarabangsa), beberapa buah kapal dari armada Angkatan Tentera Laut Israel berligar-ligar bersama helicopter mendekati lantas membuat serangan ke arah kapal penumpang.

Beserta senjata degan peluru hidup, tentera Israel turun dari helicopter dan mengganas sehinggakan beberapa penumpang terpaksa mempertahankan diri dengan apa jua perkakasan yang ada di kapal. Namun berdepan dengan tentera berhati kebinatangan tersebut senjata ganas Israel telah membunuh dan mencederakan mereka yang dihadapannya.



Aqsa Syarif Mengenengahkan Paradigma Perjuangan Semasa


Aqsa Syarif berada di tengah-tengah medan menjelaskan apa yang sewajarnya difahami oleh masyarakat berhubung dengan isu Palestin. Pada hari ini 2 Mei 2010 para aktivis Aqsa Syarif berada di MHI-TV3, Buletin TV3 dan berada di beberapa media perdana menjelaskan pendirian dan perspektif pandangan, kefahaman dan pendirian Aqsa Syarif dan aktivis-aktivisnya.



Tuesday, 1 June 2010

Isteri sukarelawan sudah jangka misi suami hadapi halangan




2010/06/01

JOHOR BHARU: Isteri kepada sukarelawan yang terbabit dalam serangan Israel terhadap kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza sudah menjangka kemungkinan berlaku halangan dalam perjalanan mereka itu.

Sharifah Mahiza Syed Abdul Kadir berkata, suaminya, Hasanuddin Mohd Yunus, sudah berpesan supaya beliau tabah menghadapi segala kemungkina.

"Sebagai isteri saya faham risiko yang dihadapi tapi tetap memberi sokongan kepada suami.

"Pesanan terakhir pada Khamis lalu sebelum beliau naik kapal ialah teruskan perjuangan," katanya ketika ditemui di sini.

Hasanuddin adalah seorang daripada dua wakil badan bukan kerajaan yang mewakili Aqsa Syarif dalam misi itu.

# Gambar: Pn Hjh Sharifah Mahiza bersama salah seorang anak laki-lakinya di sidang media di Pejabat Sekretariat Aqsa Syarif Johor di Johor Bahru

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Isterisukarelawansudahjangkamisisuamihadapihalangan/Article/index_html