Sunday, 12 September 2010

Aqsa Syarif Sekali Lagi Berpeluang Melebarkan Rangkaian

Salah satu dari 4 objektif Aqsa Syarif (AQSA) adalah Membina jaringan kerjasama dengan pelbagai organisasi yang berkaitan dengan Palestin di dalam dan di luar negara. Buat pertama kali ketika menyertai Kapal Marvi Marmara yang dianjurkan oleh IHH Turki telah memberikan kesempatan berkenalan dengan pelbagai badan yang prihatin terhadap nasib rakyat Palestin. Kini sekali lagi peluang bersama menyertai Konvoi Misi Kemanusiaan Viva Palestina 5 yang akan bermula pada 18 Sept 2010 akan memberi ruang AQSA berinteraksi dengan NGO berkaitan perjuangan Palestin di luar negara, khususnya di Eropah.

Viva Palestina UK yang menjadi penganjur utama Konvoi Kemanusiaan melalui jalan darat kali ini telah melalui pengalaman yang berharga semenjak konvoi pertama pada 14 Februari 2009. Hanya mengambil masa empat minggu, konvoi jalan darat yang disertai oleh 110 kenderaan, 260 sukarelawan dan menyumbangkan bantuan kepada Gaza dengan nilai sejumlah £1.5m (RM3.9 jur) telah berjaya mencapai tujuan konvoi tersebut. Perjalanan konvoi pertama itu telah melalui utara Afrika dari UK merentasi Moroko dan Algeria.

Konvoi jalan darat pada kali ini memilih jalan merentasi Peranchis, Itali, Grees, Turki, Syria dan Mesir sebelum memasuki Rafah dan Gaza. Aqsa Syarif yang diwakili oleh tujuh (7) sukarelawan akan bersama-sama konvoi dari awal perjalanan hingga ke destinasi Gaza. Tentunya sepanjang perjalanan, AQSA akan mengambil peluang berinteraksi, belajar dan saling bertukar-tukar pengalaman disamping mewujudkan rangkaian sesama NGO. Peluang tersebut Insya Allah akan sebagai sebahagian dari latihan dan pendedahan yang berguna agar AQSA akan dapat lebih matang dan mampu berperanan dengan lebih berkesan di dalam mahupun di peringkat global.

No comments:

Post a Comment