Kira-kira 600 orang peserta konvoi daripada 45 buah negara yang akan menyertai konvoi kemanunisaan ke Gaza dengan menaiki kapal Mavi Marmara berkumpul di bandar pelabuhan Antalya di selatan Turki bagi membuat persiapan akhir sebelum bertolak. Sehingga malam tadi, seramai 547 orang telah hadir mendaftar diri dan menandatangani perjanjian setia di stadium bola keranjang Kepez Arena.
Peserta-peserta yang hadir pada malam tadi datang dari pelbagai negara, termasuklah daripada Malaysia, Belgium, Mauritus, Australia, Jerman, Kosovo, Mesir, Greece, Indonesia, Ireland, Itali, Sepanyol, Syria, Lubnan, Oman, Kuwait, Pakistan, Turkmenistan, Palestin, Afrika Selatan, dan negara tuan rumah Turki.
Dalam perhimpunan dan sidang akbhbar yang gemuruh dengan laungan takbir dan selawat serta laungan seruan menyokong Gaza itu, Presiden IHH, Bulent Yildirim mengajak para peserta bersiap sedia menghadapi berbagai ancaman Israel –- termasuklah perancangan mereka untuk memaksa kapal-kapal memasuki Ashkelon di mana Israel telah menyiapkan sebuah penjara besar yang boleh memuatkan 1000 orang tahanan -– terhadap perjalanan ini dengan kesabaran dan ketaatan kepada strategi yang ditetapkan kepimpinan konvoi.
“Dengan pertolongan Allah, dengan sokongan saudara-saudara kita, sudah lebih dari 4 juta orang yang mencintai Gaza… dan setiap hari, setiap bulan terus berkembang,” seru Bulent. “Insya Allah kita akan menyampaikan bantuan ini dan sesudah berjaya, kita akan menghantar bantuan ini setiap bulan.”
“Kita menghantar bantuan untuk kepentingan orang Gaza dan Palestin,” tambah Bulent. “Mungkin mereka akan menuduh kita menyalurkan bantuan kepada Hamas. Kita ingin mengatakan kepada dunia bahawa kita menyalurkan bantuan kepada masyarakat Palestin dan Gaza. Hamas ada perjuangan mereka sendiri.”
“Jadi saya meminta kepada saudara-saudara yang mengikuti konvoi ini, terutama saudara-saudaraku masyarakat Turki, untuk bersabar dan taat kepada kepemimpinan konvoi ini. Tanpa ada ketaatan dan kesabaran ini, misi kita tidak akan efektif,” ujar Bulent.
Menurut salah seorang pegawai kanan IHH, Nalan Dal, setakat ini telah dibentuk sebuah majlis syura yang terdiri daripada enam orang yang mewakili enam organisasi terbesar dalam konvoi. Majlis ini akan berada di atas kapal Mavi Marmara dalam perjalanan ke Gaza ini dan mengambil tampuk kepemimpinan.
Presiden IHH, Bulent juga mengingatkan bahawa di dalam konvoi ini ada peserta bukan Muslim, termasuk Yahudi. “Kami ingin anda semua mengikuti semua strategi kita,” seru Bulent. “Kita berasal daripada lebih 50 buah negara. Israel menginginkan keberagaman latar belakang kita menjadi sumber masalah dan perpecahan, maka penting sekali bagi setiap peserta untuk (taat)…”
Sidang akhbar berlangsung dengan meriah sekali di Kepez Arena. Selembar bendera Palestin berukuran raksasa digantungkan di tengah-tengah gelanggang bola keranjang, sementara berbagai organisasi peserta konvoi memaparkan sepanduk-sepanduk mereka. Wakil-wakil daripada Malaysia turut menggantung sepanduk besar bertulis “Lifeline 4 Gaza. Hapuskan Embargo. End the Siege…”
Selain kapal penumpang Mavi Marmara yang akan membawa sekitar 600 orang aktivis kemanusiaan, wartawan, tokoh politik, dan tokoh masyarakat berbagai negara yang memprotes embargo brutal Israel atas Gaza selama empat tahun ini. Di samping kapal penumpang, IHH juga membawa dua buah kapal kargo. Masing-masing kapal tersebut ditaja oleh NGO daripada Kuwait dan Algeria.
Menurut Bulent, setakat ini sudah dimuatkan lebih dari 2100 tan bahan bantuan kemanusiaan bagi rakyat Gaza, termasuk bahan makanan, kelengkapan dan peralatan sekolah, ubat-ubatan, bahan binaan bangunan seperti simen dan besi.
Enam buah kapal yang lain juga akan membawa bahan bantuan, termasuk bahan bangunan untuk membina semula bangunan sekolah, hospital dan perumahan yang dihancur-leburkan Israel selama 23 hari serangannya di penghujung 2008 dan awal 2009.
3 buah kapal daripada Turki ini akan belayar daripada pelabuhan Antalya menuju ke Laut Mediterranean di mana mereka akan bergabung dengan 6 buah lagi kapal di perairan Cyprus, sebelum memulai perjalanan menerobos sekatan tentera laut Israel menuju ke Gaza.
Posted by lifeline4gaza on 25 May 2010
No comments:
Post a Comment