Monday 14 June 2010

Kekejaman Zionis Yang Layak Dikecam

Zionis Kini Dikecam

Oleh: Nur Shazana Abdul Rani

Gambar: Muhammad Shamsul Shafie

master-1 copy.jpg

SEMANGAT...Keberanian sukarelawan menggadai nyawa menjayakan misi kemanusiaan cukup dikagumi masyarakat dunia.

PROUUM ONLINE: Tentera Zionis Israel menyerang kapal milik Turki, Mavi Marmara yang mengangkut misi kemanusiaan telah mencetuskan satu kesedaran pada dunia hari ini mengenai kekejaman rejim Israel.

Pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (A&A) dengan kerjasama Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan “Wacana Flotilla Gaza: Tragedi Mavi Marmara” semalam.

Tetamu dan sukarelawan jemputan yang hadir berkongsi ilmu dan pengalaman melalui forum ini ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak, Pengerusi Aqsa Syarif, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus, Jamaah Islah Malaysia, Dr. Selamat Aliman dan Wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail.

Forum yang berlangsung di Dewan Seminar B, Kompleks Konvensyen UUM bertujuan membangkitkan semangat dan kesedaran kepada rakyat Malaysia supaya berusaha memahami kedudukan sebenar bumi Palestin dari sudut sejarah dan politik, di samping menghulurkan sokongan dan doa yang berterusan untuk rakyat Palestin.

Masyarakat dunia kini kembali mengutuk kekejaman Israel selepas agak lama “sepi” dengan keganasan mereka kepada Palestin.

Ashwad Ismail berkata, walaupun misi memberikan bantuan berupa bekalan perubatan, peralatan sekolah dan bahan binaan kepada rakyat Palestin gagal, namun mereka telah berjaya menyampaikan mesej yang jauh lebih besar.

“Tindakan kejam Israel menawan kapal yang membawa bantuan dan aktivis keamanan telah membuka mata dunia.

“Kejadian sukarelawan Malaysia ditahan tentera Israel semasa membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza merupakan kemenangan moral yang besar kepada rakyat dan negara,” katanya.

“Sepanjang 28 jam berada dalam tahanan Israel, dapat saya rasakan penderitaan enam dekad rakyat Palestin.

“Saya juga dapat merasakan bagaimana deritanya penduduk Palestin semasa berada dalam tahanan mereka dan tempoh tersebut dapat menggambarkan kehidupan rakyat Palestin yang tertindas.

“Namun pengalaman yang memeritkan ini berjaya membuka mata dunia dengan apa yang berlaku. Kini gelombang kutukan anti Zionis bukan sahaja membara di Malaysia malah di seluruh dunia,” jelasnya lagi.

Ashwad berharap melalui pengalaman serta peristiwa yang dilalui oleh mereka sebagai sukarelawan akan membuka mata rakyat Malaysia dan dunia tentang kekejaman Rejim Zionis terhadap rakyat Palestin yang selama ini kita baca dan lihat hanya melalui kaca televisyen.

Habis.

==============================
DARIPADA :
PEJABAT PERHUBUNGAN AWAM
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL : 04-928 3013/3083/3008/3007
FAX : 04-928 3016
E-MAIL:
prouum@uum.edu.my

No comments:

Post a Comment