Monday 14 June 2010

Pengerusi & Bendahari Aqsa Syarif di UUM

Misi Bantuan Gaza Diteruskan

Oleh: Nur Shazana Abdul Rani

Gambar: Muhammad Shamsul Shafie

Ust .jpg

Sekitar Majlis Wacana Flotilla Gaza : Tragedi Mavi Marmara yang berlangsung di Kompleks Konvensyen UUM, semalam.

PROUUM ONLINE: Misi kemanusiaan menghantar barangan makanan dan perubatan kepada penduduk di Gaza akan diteruskan walaupun mendapat tekanan dan halangan hebat dari Israel.

Pengerusi Aqsa Syarif Hasanuddin Mohd Yunus yang merupakan salah seorang aktivis yang ditahan oleh Zionis dalam kapal Mavi Marmara berkata semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepakat akan meneruskan bekalan keperluan biarpun terpaksa menghantar melalui darat, air, mahupun udara dalam usaha memastikan rakyat yang hidup melarat di Gaza mendapat pembelaan.

Jelasnya, misi bantuan kedua akan ke Gaza kali ini bagi menyalurkan bantuan khususnya persiapan Ramadan yang akandisambut oleh penduduk di Gaza.

“Bagaimanapun, projek tersebut masih dalam peringkat perancangan dan berharap menjadi kenyataan.

“Namun peranan dan matlamat demi kemanusiaan akan diteruskan oleh badan sukarelawan yang kini mendapat sokongan dunia sekali gus menekan keegoan Rejim Zionis,” katanya ketika berucap di Majlis Wacana Flotilla Gaza: Tragedi Mavi Marmara di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Hasanuddin berkata, semua NGO di Malaysia telah berbincang dengan Wisma Putra dan beberapa agensi tertentu bagi meneruskan penghantaran misi kemanusiaan gelombang kedua ke Gaza.

“Kita akan cuba membantu dengan apa cara sekalipun supaya perjuangan untuk menegakkan kebebasan, keadilan danhak asasi manusia tercapai,” tambahnya lagi.

Wacana yang berlangsung di UUM itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak, dua lagi sukarelawan Malaysia ke Gaza, Ahli Jemaah Islam Malaysia, Dr. Selamat Aliman dan Wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail.

Aqsa Syarif adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan NGO negara ini yang menyokong usaha-usaha murni membantu Palestin termasuk menyalurkan bantuan kepada anak-anak yatim dan keluarga miskin di Palestin.

Habis.

==============================
DARIPADA :
PEJABAT PERHUBUNGAN AWAM
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL
: 04-928 3013/3083/3008/3007
FAX : 04-928 3016
E-MAIL:
prouum@uum.edu.my

No comments:

Post a Comment